Recent Posts

aku suka main-main

Monday, April 27, 2009

Panduan Asas Membina Laman Web

Adakah anda ingin membuat web sendiri? Tetapi anda mempunyai persoalan berikut:

  • Apa yang perlu saya tahu untuk membuat web?
  • Apa yang perlu saya guna untuk membuat web?
  • CMS? Drupal? Joomla. Apa itu?
  • Keselamatan Web saya macam mana?
  • Hosting yang mane sesuai?

Jika anda mempunyai persoalan diatas, disini saya cuba berikan anda jawapan yang terbaik untuk anda dengan ilmu saya yang tidak seberapa ini.

Apa yang perlu saya tahu?

Soalan ini sering dikemukan oleh ramai pengguna yang ingin membuat web. Dan kebiasaanya anda akan dijawab dengan:

1. Pergi belajar HTML CSS PHP serta setaranya.

2. Guna Joomla, Drupal CMS

3. Google saje.

4. Saya pun tengah belajar lagi, jom kita belajar bersama-sama.

Jika jawapan di atas mengelirukan anda dan menambahkan persoalan yang bermain difikiran anda seperti "Saya tahu kena belajar HTML ni, tetapi sampai mana harus saya belajar sehingga saya boleh membuat laman web ni".

Jadi, jangan salahkan orang lain jika jawapan diatas diberikan kerana semuanya betul. Tetapi yang paling penting, soalan anda itu tidak jelas dan luas. Bila kita sebut mengenai laman web, laman web ini mempunyai banyak cabang.Laman web boleh dipecahkan kepada beberapa cabang seperti:

1. Blog

2. Forum

3. Laman web sendiri

4. Laman web perniagaan

5. Portal

6. E-commerce

7. Help Desk

8. Gallery

9. Wiki

10. dan macam-macam lagi.

Oleh itu, sebelum anda meminta bantuan sila jelaskan tentang tepat, apakah jenis web yang ingin anda bangunkan. Contohnya, tolong saya membina laman web perniagaan.

Di sini saya cuba huraikan serba sedikit panduan untuk membuat jenis-jenis web di atas.

1. Blog - Biasanya untuk membuat blog anda tidak perlu mengetahui koding-koding yang kompleks, dan hanya perlu tahu serba sedikit dalam HTML dan CSS terutamanya dalam bahagian koding background, color, font size. Anda tidak perlu membuat koding sendiri untuk blog kerana terdapat banyak koding yang sudah siap untuk digunakan seperti Wordpress dan Drupal. Di samping itu, terdapat website yang menawarkan perkhidmatan blog online seperti blogspot.com.

2. Forum - Forum juga sama seperti blog, gunakan koding yang sudah siap seperti Vbulletin dan phpBB. Berkenaan dengan antaramuka forum pula, pengetahuan sedikit dalam CSS sudah cukup untuk membolehkan anda mereka bentuk forum anda.

3. Laman web peribadi - laman web peribadi biasanya kita mulakan dari kosong, untuk membina laman web ini penegtahuan dalam HTML dan CSS amatlah penting.

4. Laman web perniagaan - untuk membina laman web perniagaan, saya sarankan akan menggunakan Joomla untuk meningkatkan keselamatan website anda. Walau bagaimanapun, jika anda sudah mahir dalam PHP dan SQL, mulakan dari kosong adalah terbaik.

5. Portal - Membina portal tidak memerlukan pengetahuan yang tinggi kerana sudah terdapat koding yang sudah siap seperti Drupal, Joomla, XOOPS, serta PHP-Nuke. Walau bagai manapun, pengetahuan yang tinggi dalam bidang PHP akan dapat membantu anda membuat modul-modul anda sendiri.

Apa yang perlu saya guna?

Ini satu lagi masalah ramai pengguna yang baru ceburi bidang pembangunan laman web. Disini saya cuba senaraikan keperluan yang anda mesti ada untuk membina laman web.

1. Dreamweaver - perisian ini sangat mudah untuk digunakan terutama untuk orang-orang yang baru mula belajar membuat web. Tutorial dreamweaver banyak terdapat di internet. Saya dalam proses untuk membuat tutorial menggunakan dreamweaver.

2. PhotoShop - Perisian ini digunakan untuk membina gambar bagi laman web anda. Terdapat banyak lagi perisian seumpana ini seperti PaintShop Pro, tetapi saya sarankan anda menggunakan Photoshop. Sebagai permulaan, saya sarankan anda cuba mempelajari perkara yang berkaitan dengan layer.

Ini adalah asas perisin penting dalam pembangunan laman web. Di sini juga saya cuba senarikan beberapa lagi perisian yang pilihan bagi anda untuk anda gunakan dalam proses pembinaan laman web.

1. Notepad - Saya lebih suka menggunakan notepad untuk kerja-kerja pengubahsuai koding yang ringkas. Pastikan akan mahir dalam HTML dan CSS untuk menggunakan notepad.

2. Microsoft Studios 2008 - Perisian ini kebiasaanya digunakan untuk pembangun laman web dalam bahasa ASP. Perisian ini cukup berkuasa. Kemahiran yang agak tinggi diperlukan untuk menggunakan perisian ini.

3. CSS Validator - Perisian ini boleh dimuat turun dari W3.org. Perisian ini digunakan untuk memastikan koding CSS anda adalah sah.

Statik vs Dinamik

Statik - laman web yang mempunyai beberapa laman dan isi kandungannya tidak berubah.

Dinamik - laman web yang memerlukan pangkalan data sebagai tempat simpanan maklumat.

Persoalan seterusnya.

HTML vs FLASH vs PHP

Saya sering terbaca persoalan tentang bahasa apa yang perlu saya gunakan untuk membuat web? HTML ke? Flash ke? Atau PHP.

Di sini saya ingin nyatakan, setiap laman web asasnya adalah HTML, walaupun website anda itu menggunakan FLASH, tetapi ia perlu dimasukkan di dalam HTML. Oleh itu pengetahuan dalam HTML adalah penting.

Pembinaan laman web menggunakan Flash dapat menarik minat pelayar, walau bagaimanapun, berhati-hati semasa membuat web menggunakan Flash kerana anda perlu mengambil kira keupayaan pelayar anda. Sesetengah pengguna tidak dilengkapi dengan pemain Flash, dan sesetengah pula mempunyai sambungan internet yang perlahan.

Untuk asas membina laman web, saya tidak sarankan anda menggunakan PHP, kerana untuk memahami PHP, anda perlu mahir dalam HTML terlebih dahulu. Mulakan dengan HTML dan bila anda rasa selesa dengan HTML, baru anda membuka langkah dalam bidang PHP.

Keselamatan Laman web

Terus terang saya ingin nyatakan kepada mereka yang baru berkecimpung dalam bidang laman web, tiada laman web yang sempurna dan tidak dapat digodam. Cuma perbezaanya adalah lambat atau cepat. Di sini saya ingin berkongsi pengetahuan yang saya ada dalam bidang pengodam laman web.

SQL Injection - teknik ini digunakan untuk mencapai pangkalan data anda dan membuat kerosakan pada data. Jika keadaan lebih teruk, pangkalan data anda mungkin dipadam.

Brute Force - teknik ini digunakan untuk memecahkan kata laluan anda.

Access Driver Tech - Salah satu teknik yang bagi saya, cukup berkuasa untuk mereka yang tidak mempunyai asas dalam bidang mengodam untuk mengodam laman web anda.

Namun anda tidak perlu bimbang jika anda menggunakan CMS, kerana sistem keselamatan bagi CMS ditulis dan diperiksa oleh golongan pakar. Apa yang anda perlu bimbang, jika anda membuat laman web anda bermula dari kosong. Pastikan anda mengetahui serba sedikit tentang SSL dan certificate. Ini dapat membantu anda menlindungi laman web anda.

Hosting

Anda tidak perlu bimbang mengenai hosting, kerana banyak syarikat peniagaan di Malaysia menawarkan khidmat hosting. Pilih yang bersesuaian dengan anda. Bagi peringkat permulaan, dapatkan hosting yang menawarkan package sekurang-kurangnya 1Gb untuk ruangan hardisk dan 10Gb untuk bandwidth.

Menjadi webmaster sebagai pekerjaan

Untuk menjadi seorang webmaster, anda perlu mengetahu banyak bahasa pengaturcaraan laman web, bagi saya sendiri perjalanan saya untuk menjadi seorang webmaster masih jauh. Saya ingin berkongsi sedikit info tentang perkara yang perlu anda tahu untuk menjadi seorang webmaster

Bahasa Pengaturcaraan Laman Web : HTML,PHP,XML,XHTML,DHTML,JavaScript, ASP dan juga ColdFusion.

Bahasa Pangkalan Data : MySQL, Post SQL, mSQL, SQL dan Access.

Server : Apache, IIS, Linux, Unix

Teknik SEO : Google, Yahoo,

Keselamatan : SSL, Certificate, exploit dan juga Real Time Coding Error.

E-Commerce : Paypal, E-Gold, Liberty,

Perangai : Mesra pelanggan, menepati masa projek dan juga mudah dibawa berbicara.

Sebagai penutup ingin saya jelaskan satu perkara yang penting dalam proses pembelajaran membina laman web, banyakan permbacaan, sabar dan janganla mengharapkan jawapan atau respon yang cepat daripada meraka yang mahir. Dan yang paling penting, jangan terlupa untuk menggunakan khidmat terbaik daripada UNCLE GOOGLE.

Sumber : Kripcon

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More